fb fb fb fb fb

Polis buka kertas siasatan kes kematian kucing di UM

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 24 Disember - Satu kertas siasatan dibuka, berhubung kes kematian kucing di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata siasatan turut dijalankan melibatkan kenyataan yang dikeluarkan aktivis haiwan, seperti yang dilaporkan media tempatan.

"Rakaman percakapan pihak berkenaan akan diambil pada Khamis ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Kelab Kucing Malaysia meminta siasatan terhadap kes kematian kucing di UM dijalankan secara terperinci.

Presidennya Khalid Rashid dilaporkan berkata pihaknya bukan mempersoalkan siasatan dijalankan pihak berkuasa, namun berharap jika kes berkenaan diteliti semula dengan bantuan daripada pakar, ekoran timbul pelbagai reaksi.

Pada 22 Disember, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terlibat, polis mendapati terdapat sekumpulan anjing liar yang telah bertindak menyerang kucing tersebut.

Polis turut merujuk perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pengesahan kecederaan yang dialami ke atas kematian kucing terbabit adalah disebabkan serangan anjing-anjing liar.

TETITIA YUSOFF