KUALA LUMPUR, 25 Disember- Seorang suri rumah kerugian RM147,753 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan melalui aplikasi media sosial di Bera, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa, 38 tahun tertarik untuk menyertai tawaran kerja dalam talian menggunakan platform dikenali 'Hand Craft Group 049' pada 13 Disember lepas.
Sindiket menjanjikan keuntungan lumayan bagi setiap produk dijual di Telegram.
"Mangsa telah diberi pautan bagi melakukan setiap tugasan. Bagaimanapun suspek kemudian mengarahkan wanita itu membuat semula kerja kraf tangan itu kerana kononnya terdapat kesilapan.
“Mangsa juga telah membuat bayaran dengan 28 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza untuk mendapatkan semula pautan daripada suspek.
“Mangsa mula menyedari ditipu apabila suspek mengatakan mangsa berjaya mendapat komisyen sebanyak RM200,000 tetapi gagal ditebus sehingga mengalami kerugian.
"Kesemua transaksi itu menggunakan wang simpanan sendiri,” katanya menerusi kenyataan.