fb fb fb fb fb

Judi laga ayam: 26 individu ditahan

Kesemua mereka ditahan di sebuah kebun kelapa sawit di Air Kuning semalam/Foto PDRM

TAPAH, 26 Disember - Seramai 26 individu, termasuk 18 warga Indonesia, ditahan dalam serbuan aktiviti perjudian laga ayam di sebuah kebun kelapa sawit di Air Kuning di sini, semalam.

Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 31 hingga 50 tahun.

Pemangku Ketua Polis Perak, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Zulkafli Sariaat, berkata serbuan dilakukan oleh Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada pukul 2 petang.

“Hasil operasi ini, kami berjaya menahan 26 suspek, termasuk 18 warga Indonesia. Turut dirampas adalah 49 ekor ayam laga, lima sangkar besi, 22 telefon bimbit, serta wang tunai berjumlah lebih RM18,000,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Zulkafli berkata, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 29 Disember bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, serta Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” tambah beliau.

GRACE AISYAH KEDAYAN