DUNGUN, 28 Februari- – Polis Terengganu menyerbu sebuah rumah dan merampas lebih 300 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, berkata dalam serbuan kira-kira jam satu tengah hari itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun.
Menurut Superintenden Maizura, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam.
"Polis berjaya menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api disimpan dalam sebuah stor di rumah itu", katanya.
Siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang lesen dan permit sah untuk menyimpan dan menjual mercun dan bunga api berkenaan.
Hasil pemeriksaan turut mendapati lelaki terbabit turut menyimpan beberapa jenis mercun yang disenaraikan berbahaya dan tidak dibenarkan dijual di pasaran.
Jelasnya, polis sedang melakukan siasatan terperinci bagi mengenalpasti dari mana mercun berkenaan diperolehi lelaki terbabit.
"Kita mendapati bahawa terdapat penjualan mercun, ada segelintir mengambil kesempatan, kesempatan menjual, tanpa mendapat permit yang sah", katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini hari ini.
Tambahnya, nilai rampasan mercun berkenaan dianggarkan RM7,000 dan kes disiasat mengikut seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sementara itu, Maizura berkata, setakat ini terdapat 90 permohonan menjual mercun dan bunga api di seluruh daerah itu dan pihaknya masih belum mengeluarkan sebarang kelulusan.