PUTRAJAYA, 1 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang wartawan sebuah portal berita kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel serta tidak menulis mengenai sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.
Majistret Beveniyah R Jothi mengeluarkan perintah reman selama empat hari sehingga 4 Mac ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki itu ditahan kira-kira pukul 11.45 malam semalam di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor hasil aduan dan "taktik" yang dilakukan oleh pegawai penyiasat SPRM.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta wang rasuah sebanyak RM100,000, namun selepas rundingan, dia bersetuju menerima ‘pendahuluan’ sebanyak RM20,000.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan bahawa wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 telah disita sebagai bahan bukti dalam siasatan kes tersebut.