GEORGE TOWN, 23 November - Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal memproses heroin yang beroperasi di sebuah rumah di Bukit Mertajam, kelmarin.
Pembongkaran tersebut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan, masing-masing berperanan sebagai ahli kimia dan runner sindiket pengedaran dadah, dengan nilai rampasan melebihi RM120,000.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, mengesahkan tangkapan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang melalui dua serbuan berasingan di Seberang Perai Tengah dan Kulim, Kedah, bermula pukul 4 petang kelmarin hingga 5 pagi semalam.
"Serbuan pertama di Bukit Mertajam membawa kepada penahanan suspek yang memproses dadah berkenaan sebelum maklumat lanjut membawa polis ke Kulim, Kedah, untuk menahan seorang lagi lelaki yang berperanan sebagai ‘runner’ sindiket.
"Antara yang dirampas ialah tiga bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk disyaki heroin base seberat kira-kira 400 gram, bahan kimia cecair, peralatan memproses dadah serta sebuah motosikal," katanya.
Menurut Datuk Azizee, sindiket itu dipercayai aktif sejak Ogos lalu. Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan turut mempunyai rekod jenayah serta dadah.
Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan harta dianggarkan RM130,400.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.