fb fb fb fb fb

Anggota polis cedera parah, bergelut dengan penyamun

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar (tengah) /BERNAMA

BUKIT BERUANG, 24 November- Seorang anggota polis berpangkat Koperal dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka cedera parah di bahagian lengan kiri selepas bergelut dengan sekumpulan penjenayah yang terlibat dalam kes samun di Durian Tunggal awal pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian pada pukul 4.50 pagi itu berlaku selepas pihak polis yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan tiga suspek berkenaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun sawit.

Ketiga-tiga suspek kemudiannya bertindak agresif dan menyerang anggota polis menggunakan parang.

"Disebabkan serangan itu, pihak kami terpaksa melepaskan tembakan dan ketiga-tiga suspek maut di tempat kejadian. Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai kesalahan lampau termasuk kes jenayah dan dadah, " katanya.

Kumpulan berkenaan terlibat dengan 20 kes samun di sekitar Melaka dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Selangor sejak 2024 dengan nilai kerugian berjumlah RM1.3 juta.

Pihaknya turut merampas tiga bilah parang, tiga sarung tangan dan topeng muka, beg hitam serta pemotong besi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

SITI NOORAIN ABDULLAH