KUCHING, 23 November - Seorang lelaki warga Indonesia ditemui tidak bernyawa di tepi Jalan Lumba Kuda Penrissen Lama, Kuching pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihak Balai Polis Kota Sentosa menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 8.05 pagi berhubung penemuan mangsa yang terbaring di lokasi berkenaan.
"Siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama Forensik IPK Sarawak mendapati mangsa berusia 37 tahun itu mempunyai kesan kecederaan di bahagian dahi. Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
"Punca kematian masih dalam siasatan dan kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh," katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hafizin di talian 019-5040810 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, ASP Sylvarius Gopog, di talian 013-8637241.