SARIKEI, 23 November - Seramai 98 individu ditahan, dalam Op Tapis Khas Narkotik yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitenden Aswandy Anis dalam kenyataan memberitahu, sejumlah 20.98 gram dadah disyaki syabu bernilai RM2,307 turut berjaya dirampas menerusi operasi proaktif yang dilaksanakan di kawasan Sarikei, Belawai dan Tanjung Manis dari 20 Oktober hingga 20 November lalu.
Beliau berkata sebanyak 91 kes dibuka dengan 94 lelaki dan 4 wanita ditahan. Dari jumlah keseluruhan tangkapan, 86 individu telah didakwa di mahkamah sepanjang operasi tersebut.
"Hukuman bagi kesalahan dibawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 jika disabitkan kesalahan hendaklah penjara dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun dan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada sembilan sebatan.
"Hukuman bagi kesalahan dibawah Seksyen 12(3) ADB 1952 jika disabitkan kesalahan hendaklah didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, bagi kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 jika disabitkan kesalahan, didenda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan pengawasan selama dua tahun dibawah Seksyen 38B ADB 1952.
Tegasnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus mempertingkat tindakan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah itu.