KUALA TERENGGANU, 30 April – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, dengan kerjasama pasukan juruteknik SEAL Team daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), telah melaksanakan dua serbuan berasingan ke atas premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang kripto Bitcoin.
Serbuan pertama dilakukan di Lot 7158, Tingkat Atas, Batu 18, Bukit Perpat, Jalan Kuala Berang, Ajil, Hulu Terengganu sekitar jam 1.45 petang.
Hasil pemantauan selama 30 minit mendapati premis tersebut tidak berpenghuni, sebelum tindakan memotong mangga pintu dilakukan bagi membolehkan pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan mendapati sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perlombongan Bitcoin, termasuk 21 mesin bertanda “Avalon Miner”, tiga unit agihan arus elektrik, satu unit pemutus litar bersama agihan yang disambung secara haram kepada sumber bekalan elektrik TNB.
Tiada tangkapan dibuat dan kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Serbuan kedua pula dijalankan di premis tidak berpenghuni bernombor 7560, Kedai MOM Dua Tingkat, Wakaf Tapai, Marang, yang turut menemui 24 mesin “Avalon Miner”.
Semua barangan rampasan dibawa ke IPD Marang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram yang melibatkan kecurian bekalan elektrik bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan keselamatan penduduk serta menyebabkan kerugian besar kepada syarikat utiliti negara.
Beliau turut menyeru orang awam agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sedemikian dan supaya segera melaporkan kegiatan mencurigakan kepada pihak polis atau TNB.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan dan kestabilan sistem tenaga serta kesejahteraan awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.