fb fb fb fb fb

Hilang kawalan, penunggang motosikal maut

Foto ihsan polis Johor

KOTA TINGGI, 2 Mei - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 50.2 Lebuhraya E22 Senai–Desaru di sini, malam tadi.

Mangsa, 28 tahun disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan kira-kira jam 8.15 malam itu melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 46 tahun.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah motosikal lain sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.

"Selepas terbabas ke laluan bertentangan, mangsa kemudiannya dilanggar sebuah kereta di laluan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi bedah siasat.

Manakala penunggang motosikal berusia 21 tahun serta pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Beliau memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun, jika sabit kesalahan.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE