BATU PAHAT, 2 Mei - Seorang lelaki warga tempatan kerugian RM330,400 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan antarabangsa tidak wujud.
Mangsa berusia 57 tahun itu menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp pada Januari lalu daripada individu yang menawarkan pelaburan saham di Hong Kong.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran pulangan keuntungan tinggi, kemudian menyatakan minat untuk menyertai pelaburan berkenaan.
Mangsa kemudian berhubung dengan suspek bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaburan tersebut.
“Pada 19 Februari hingga 18 Mac 2025, mangsa telah memindahkan wang secara berperingkat ke dua akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM330,400.
“Mangsa turut dijanjikan pulangan lebih tinggi sekiranya membuat pembayaran tambahan,” menurutnya dalam kenyataan.
Mangsa kemudiannya telah menyedari dirinya telah ditipu setelah gagal memperoleh sebarang pulangan seperti dijanjikan, sebelum membuat laporan polis.
Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.