fb fb fb fb fb

Papagomo mohon maaf tanpa syarat kepada Ketua Polis Negara

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 April – Penulis blog kontroversi Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo hari ini memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain atas kenyataan berunsur fitnah yang dimuat naik awal tahun ini.

Permohonan maaf itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan dua hantaran di media sosial pada Januari lalu, yang dibuat walaupun terdapat injunksi mahkamah bertarikh 31 Disember 2024 yang melarang sebarang kenyataan sebegitu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong turut mengarahkan permohonan maaf tersebut disiarkan di semua akaun media sosial milik Papagomo termasuk YouTube, TikTok, X dan Telegram sekurang-kurangnya selama tujuh hari. Beliau turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM5,000 kepada plaintif.

Ketika membaca kenyataan maafnya, Papagomo menyatakan kekesalan atas kenyataan yang dikeluarkannya pada 14 Januari lalu yang didapati menghina Ketua Polis Negara. Beliau turut mengaku bersalah memuat naik imej KPN yang telah diubah suai keesokan harinya.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi penggunaan kata-kata kesat terhadap Tan Sri Razarudin,” katanya di mahkamah.

Kes tersebut pada asalnya dijadualkan untuk prosiding menghina mahkamah, namun kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya secara damai melalui permohonan maaf tersebut.

Terdahulu, mahkamah pada Februari telah membenarkan permohonan Razarudin untuk memulakan prosiding komital ke atas Papagomo kerana didakwa melanggar perintah injunksi mahkamah bertarikh 10 Januari 2025.

Perintah itu melarang sebarang kenyataan berbentuk fitnah terhadap Razarudin di semua platform media sosial termasuk dalam bentuk video, teks, suara mahupun hantaran di aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.

Papagomo juga diarahkan memadam video berunsur fitnah terhadap Razarudin yang dimuat naik pada 14, 15, 20 dan 22 Disember tahun lalu.

Terdahulu, Razarudin telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM3 juta terhadap Papagomo pada 26 Disember 2024, yang turut membabitkan dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE