fb fb fb fb fb

Polis bawa Ibu Zayn Rayyan "lakon semula" kejadian di Apartment Idaman

Foto RTM

PETALING JAYA, 10 Jun -Ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen yang kini dalam tahanan reman polis bagi membantu siasatan pembunuhan anaknya, tiba di kawasan kediaman mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Wartawan RTM di lokasi melaporkan pihak polis membawa ibu Zayn bertujuan untuk melakonkan semula kejadian ketika kehilangan Zayn yang ditemui meninggal dunia pada 6 Disember tahun lalu.

Berdasarkan tinjauan, sebuah van polis tanpa logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa ibu mangsa ke lokasi kediamannya di Blok R pada pukul 10.15 pagi tadi dan dilihat dibawa keluar dari kediaman sekitar pukul 11.06 pagi. Beberapa anggota polis juga mengawal laluan keluar masuk ke kawasan Apartment Idaman.

Pada 8 Jun lalu, polis mendakwa terdapat percanggahan dalam kenyataan yang diterima membabitkan kes pembunuhan tersebut, selepas ibu dan bapa kanak-kanak itu direman.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, pihak polis telah membuat permohonan sambungan reman terhadap ibu dan bapa Zayn untuk melengkapkan siasatan.

Difahamkan wanita itu juga akan dibawa ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemui iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman mereka.

Polis juga dilihat membawa patung kanak-kanak, namun tidak dapat dipastikan tujuan patung berkenaan dibawa.

Pasangan itu direman selama enam hari iaitu sehingga Khamis ini, 13 Jun 2024.

Mereka ditahan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan pada 31 Mei lalu.

BERITA BERKAITAN
Reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung enam hari lagi
Ibu bapa Zayn sambung reman, polis dakwa kenyataan bercanggah
Ibu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari
Kes bunuh kanak-kanak austisme: Ibu bapa Zayn Rayyan dijangka direman hari ini

 

MAT YUNUS BIN SABRI