fb fb fb fb fb

KPDN Johor kesan stesen minyak jual diesel guna bekas melebihi 20 liter

FOTO HIASAN

JOHOR BAHRU, 10 Jun - Sebuah stesen minyak di Simpang Renggam, Kluang, di sini dikesan menjual diesel menggunakan bekas melebihi 20 liter selain pembelian minyak diesel tanpa lesen sah.

Kesalahan itu, dikesan susulan pemantauan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor yang digerakkan bermula 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam semalam.
 
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dalam kenyataan berkata, stesen minyak berkenaan akan disiasat mengikut Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana telah melanggar syarat khas lesen.
 
Turut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), PPKB 1974.
 
"Sebanyak 111 stesen minyak di seluruh negeri di periksa, semalam.
 
"Pemantauan itu susulan pengumuman perubahan harga bahan api diesel yang berkuat kuasa hari ini dan memastikan pengusaha stesen minyak menjual bahan api diesel pada harga kawalan sedia ada sebelum harga baharu dilaksanakan mulai 12.00 tengah malam tadi," kata Lilis Saslinda menerusi satu kenyataan.
 
Tindakan itu juga bagi memastikan stesen minyak tidak melakukan aktiviti penyelewengan seperti menutup stesen minyak, kehabisan bekalan minyak diesel (stock out), elemen pam rosak, jualan bersyarat, dan enggan menjual atau menyorok bekalan.

TETITIA YUSOFF