fb fb fb fb fb

KPDN Kelantan tahan individu seludup diesel

KPDN Kelantan memeriksa dan memantau di dua stesen minyak di Pasir Pekan, Tumpat malam tadi

TUMPAT, 10 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Wakaf Baru, Tumpat kerana melakukan pembelian diesel menggunakan tong dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Pengarahnya Azman Ismail berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira pukul 9.00 malam tadi oleh sepasukan pegawai KPDN yang melakukan pemantauan di stesen berkenaan.

"Lelaki itu dipercayai mengambil kesempatan melakukan pembelian diesel sebelum pelaksanaan harga tanpa subsidi pada kadar RM3.35 seliter yang bermula hari ini. Pihaknya turut menahan sebuah kereta yang digunakan lelaki tersebut," katanya.

Azman bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan di dua stesen minyak di Pasir Pekan, Tumpat malam tadi.

Jelasnya, satu lagi kes melibatkan akta sama di sebuah stesen minyak di Tawang, Bachok apabila enggan menjual diesel kepada pelanggan.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan KPDN turut menyita dokumen pengusaha stesen minyak berkenaan.

Pengusaha terbabit mengehadkan pembelian diesel RM100 sahaja untuk sebuah kenderaan dan menggunakan alasan tidak cukup bekalan bahan api itu.

"Tindakan turut diambil terhadap pengusaha stesen minyak berkenaan dengan menyita dokumen untuk tindakan lanjut," katanya lagi.

Seramai 58 pegawai dan anggota KPDN Kelantan turun di semua stesen minyak di seluruh negeri untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap aspek penyasaran subsidi diesel selepas pengumuman penyasaran harga oleh Menteri Kewangan Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Terdapat 245 stesen minyak di seluruh Kelantan dengan 107 beroperasi 24 jam, 138 bawah 24 jam, sementara 48 stesen minyak berada 25 kilometer dari sempadan dan 140 stesen berada 50 kilometer dari sempadan.

TETITIA YUSOFF