GEORGE TOWN, 4 September -Pesara bekas jurulatih sukan kerugian lebih RM838,000 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan telekomunikasi atau 'phone scam'.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata dalam kenyataan berkata, mangsa berusia 75 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
Suspek mendakwa nama mangsa telah disenarai hitam dan terlibat aktiviti penyebaran maklumat palsu serta pengubahan wang haram.
"Mangsa kemudian diarahkan untuk memindahkan semua wang dari akaun simpanan tetapnya ke akaun bank atas namanya sendiri. Suspek mengarahkan mangsa menyerahkan semua kad ATM bersama kata laluan dengan alasan untuk siasatan Bank Negara Malaysia (BNM)," menurutnya menerusi kenyataan itu.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memeriksa akaun banknya dan mendapati semua wang telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali.
Satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.