KUALA TERENGGANU, 4 September- Dua buah bot bersama sebuah platform ditahan kira-kira 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu, berhampiran Pulau Bidong.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung bersama sebuah kereta di atasnya.
Manakala sebuah bot lagi yang mengiringi aktiviti penundaan tersebut didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut.
"Platform itu dibina tanpa dilengkapi peralatan keselamatan dijadikan lokasi penggambaran seorang pempengaruh media sosial bersama kenderaan yang diletakkan di atasnya.
"Tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan nyawa kru, penumpang serta pengguna perairan lain," katanya.
Kedua-dua bot berkenaan turut membawa seorang pempengaruh media sosial bersama kru dan penumpang berusia antara 21 hingga 32 tahun.
Kesemua yang ditahan warga tempatan melibatkan enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang.
Bot, kru dan penumpang kemudian dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen yang sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran.