JOHOR BAHRU, 4 September -Polis menahan lelaki yang dipercayai mencuri van jenazah dari sebuah surau, selepas kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Skudai, di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee dalam kenyataan berkata, van jenazah milik Surau Nurul Haq di Jalan Besar Sungai Sayong dekat Kulai itu, dipercayai dicuri oleh suspek yang berusia 21 tahun antara 1 hingga 2 pagi tadi.
Beliau bagaimanapun berkata lelaki terbabit kemudian terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika melarikan van itu kira-kira 2.30 pagi.
"Suspek hanya cedera ringan pada muka dan kaki," katanya.
Beliau berkata hasil semakan mendapati lelaki itu memiliki 14 rekod jenayah lampau dan dia disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Tan berkata pihaknya sedang mengesan tiga lagi individu yang dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan.