KUANTAN, 5 September- Seorang guru di Maran, Pahang kerugian sebanyak RM230,447 selepas diperdaya sindiket 'phone scam' yang mendakwa guru tersebut terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta memiliki 23 akaun bank berdaftar atas namanya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 40 tahun itu menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai insurans pada 16 Jun lalu, sebelum disambungkan kepada pihak lain yang mendakwa sebagai pegawai polis, pendakwa raya serta pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).
Mangsa diarahkan membuka akaun baharu di sebuah bank dan memohon pinjaman kononnya bagi menangguhkan waran tangkap serta mengelakkan pembekuan aset miliknya.
Sepanjang 24 Jun hingga 2 September lalu, mangsa melakukan 11 transaksi ke beberapa akaun berbeza menggunakan wang simpanan, pinjaman dan hasil gadaian barang kemas.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengesahkan akaun bank sebelum membuat pemindahan dana dalam talian atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.