PINANG TUNGGAL, 23 Januari- Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta Perak, berjaya membongkar kegiatan penjualan baja borong tanpa lesen sejak lima tahun lalu, semalam.
Serbuan di Permatang Saga, Pinang Tunggal pada pukul 3 petang itu turut melibatkan rampasan baja seberat 169,440 kilogram bernilai lebih setengah juta ringgit.
Komander Briged Utara PGA, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Shahrum Hashim berkata kes tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
"Risikan, dibuat selama lebih kurang seminggu, untuk dapatkan maklumat dan kesahihan sebelum kita masuk ke dalam premis ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di kilang berkenaan tengah hari tadi.
Sementara itu, Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan, berkata baja yang dirampas dijual pada harga pasaran dan mendapat permintaan tinggi daripada petani setempat.
"Hasil soal siasat pemilik mengaku telah lima tahun beroperasi di sini. Dia tahu dia perlu ada lesen sebab baja merupakan barang kawalan dan perlukan lesen menjadi pengilang atau pemborong. Kita cuba bantu beliau untuk dapatkan lesen," katanya.
Rampasan turut melibatkan peralatan memproses seperti mesin pembungkusan dan alat timbang.
Kes kini disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama.