JOHOR BAHRU, 23 Januari- Polis merampas serbuk dadah jenis ekstasi dan syabu seberat lebih 21 kilogram serta 40.28 liter cecair dadah bernilai RM3.68 juta dalam empat operasi di sekitar Johor Bahru, pada 13 hingga 14 Januari lalu.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata dua suspek lelaki berumur 30 tahun dan 33 tahun yang menjadi dalang sindiket pengedaran dadah berkenaan turut ditahan.
"Kita mengesyaki barang-barang yang dirampas buat masa ini adalah dadah jenis berbahaya. Pihak polis juga telah merampas peralatan-peralatan yang disyaki digunakan untuk membuat dokumen-dokumen palsu di salah satu premis yang diserbu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.
Suspek bukan sahaja aktif mengedar dadah malah sindiket yang beroperasi sejak Disember lalu juga menghasilkan dokumen termasuk kad pengenalan, lesen memandu dan wang kertas ringgit Malaysia palsu.
Selain rampasan, turut disita dua buah kenderaan, wang tunai RM400, wang tunai mata wang asing Cambodia bernilai RM247 dan seutas jam tangan.
Kedua-dua suspek direman selama 12 hari sehingga Jumaat ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 489 B dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.