TANAH MERAH, 13 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan cubaan menyeludup masuk 28,000 kilogram beras putih dari Thailand selepas menahan sebuah treler dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Air Gatal, di sini pagi semalam.
Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 7.30 pagi ketika anggota sedang menjalankan rondaan sempena Op Taring Wawasan Kelantan.
"Hasil pemeriksaan ke atas treler tersebut menemukan sejumlah 28,000 kilogram beras putih yang disyaki diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di pasaran tempatan," menurut hantaran itu di Facebook hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pemandu dan kelindan treler kedua-duanya lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai penghantar bagi kegiatan penyeludupan tersebut.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM462,000 merangkumi keseluruhan muatan beras serta kenderaan treler.
Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.
Rampasan tersebut telah diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negeri (KSPBN) Kelantan untuk tindakan lanjut.