KANGAR, 13 Jun- Seorang pemandu jentera berusia 40 tahun berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 365 kilogram di Mahkamah Majistret di sini.
Tertuduh, Mohd Mudzakkir Zainal Abidin mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis syabu berkenaan di sebuah rumah di Kampung Belat Batu, Beseri pada 31 Mei lalu bersama-sama seorang lelaki yang masih bebas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom
Mahkamah menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.