fb fb fb fb fb

Dua lelaki ditahan seludup diesel, rampasan cecah RM268,000

Antara tong biru yang ditemui dalam stor tidak berkunci di Kampung Telaga Lanas, Tanah Merah, disyaki mengandungi minyak diesel untuk diseludup ke negara jiran/Foto PGA Briged Tenggara

PENGKALAN KUBOR, 13 Jun – Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel dalam serbuan di sebuah stor tidak berkunci di Kampung Telaga Lanas, di sini, Rabu lalu.

Kedua-dua suspek ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan yang dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kota Bharu.

Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang selepas anggota operasi menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak melakukan pemeriksaan lanjut di sebuah premis berdekatan.

“Hasil pemeriksaan di stor tersebut menemui dua buah kenderaan serta tangki yang telah diubah suai mengandungi anggaran 940 liter minyak diesel,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM268,000, termasuk kenderaan dan bahan bakar yang dirampas.

Tambah kenyataan itu, minyak diesel berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui kawasan sempadan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan itu lagi.

Semua rampasan telah diserahkan kepada KPDN Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

GRACE AISYAH KEDAYAN