KUANTAN, 4 Oktober - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang 2, di sini, semalam.
Dalam serbuan pukul 6.30 pagi menerusi Op Taring Mitra itu, tiga lelaki tempatan berusia 41, 48 dan 57 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti memproses serta mengedar ketum.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook Briged Tenggara PGA Rasmi, pemeriksaan lanjut menemukan 163.45 kilogram daun ketum serta 796 bungkus air ketum yang telah diproses dengan anggaran 636.8 liter di lokasi serbuan.
"Turut dirampas tiga unit telefon bimbit serta beberapa peralatan penyimpanan ketum dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM30,142.
"Kesemua rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut," menurut hantaran tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.