fb fb fb fb fb

PGA serbu kilang haram rampas 30,800 batang kayu

Tiga lelaki ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan semalam/Foto Batalion 8 Pasukan Gerakan Am

KOTA BHARU, 17 Ogos - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kayu balak dan kayu siap diproses bernilai RM13.7 juta serta menahan tiga individu termasuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sebuah kilang kayu di Mukim Batang Merbau, Tanah Merah semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun dan dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah.

“Pemeriksaan mendapati pasport kedua-dua pekerja warga Myanmar tidak mempunyai cop masuk ke Malaysia yang sah.

"Selain itu, kayu balak di dalam kilang berkenaan juga tidak bercukai kerana tiada cop hasil cukai daripada Jabatan Perhutanan. Kayu itu dipercayai diperoleh melalui aktiviti pencerobohan hutan simpan sekitar Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil rampasan melibatkan 800 batang kayu balak, 30,000 batang kayu siap diproses, pelbagai peralatan memproses kayu serta jentera berat.

Katanya, semua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN