fb fb fb fb fb

Dua kilang kayu di Tanah Merah diserbu, rampasan bernilai RM19.18 juta

PGA rampas kayu RM19.18 juta, tiga individu ditahan di Tanah Merah/Foto Briged Tenggara PGA Rasmi

KOTA BHARU, 17 OGOS - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis kayu bernilai keseluruhan RM19.18 juta dalam dua operasi berasingan di Tanah Merah, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam operasi pertama di sebuah kilang kayu di Kampung Bukit Pauh, pihaknya menemui 45 longgok kayu siap diproses dan lima longgok kayu balak pelbagai saiz serta spesies.

“Turut dirampas sebuah jentera berat dan peralatan memproses kayu dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM8.2 juta.

"Pemeriksaan lanjut mendapati permit memproses kayu yang dikemukakan meragukan, manakala pas pemindahan hasil hutan didapati digunakan berulang kali bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan, seorang pekerja wanita tempatan berusia 35 tahun berada di premis terbabit.

"Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985," katanya.

Manakala dalam operasi kedua di sebuah kilang kayu di Jalan Bukit Kechik, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 60 dan 27 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut tidak mempunyai lesen kebenaran beroperasi daripada Jabatan Perhutanan, manakala kayu yang ditemui tidak bercukai.

"Rampasan membabitkan 33 ‘bundle’ kayu pelbagai saiz dan spesies, satu longgok kayu bulat, sebuah lori dan peralatan memproses kayu dengan anggaran nilai RM10.98 juta,” katanya.

Beliau berkata semua kayu yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

GRACE AISYAH KEDAYAN