fb fb fb fb fb

PGA rampas 3,700 pokok hiasan seludup di Pasir Mas

Foto Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8

PASIR MAS, 15 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas pelbagai jenis tanaman hiasan selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Rantau Panjang Lama berdekatan Pos Pok Teh Kana, pada Jumaat lalu.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pasukan menemui 2,000 pokok buluh, 1,000 pokok banyan, 500 pokok bonsai bulat serta 200 pokok bunga kertas di belakang lori terbabit.

“Kesemua tanaman hiasan itu disyaki diseludup dari Thailand kerana pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah.

"Pemeriksaan turut mendapati tanaman tersebut dipercayai mempunyai serangga perosak dan penyakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, pemandu lori berusia 26 tahun itu dipercayai bertindak sebagai penghantar tanaman hiasan berkenaan ke sebuah nurseri tempatan.

Menurutnya, nilai rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan RM870,000 dan kes diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167),” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN