fb fb fb fb fb

PGA Sarawak rampas 29.9 tan makanan sejuk beku bernilai RM2.3 juta

FOTO PGA Sarawak

BINTULU, 8 Mac- Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya merampas 29.9 tan makanan sejuk beku tanpa permit sah bernilai RM2.3 juta dalam satu operasi khas di sebuah premis dekat Bintulu, semalam.

Komander Briged Sarawak, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Dr. Che Ghazali Che Awang berkata, operasi sekitar pukul 10 pagi itu dijalankan bersama Jabatan Veterinar Sarawak, di mana pelbagai makanan sejuk beku ditemui disimpan tanpa kebenaran dalam premis berkenaan.

Jelasnya, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Turut disita, dua buah kontena dan tujuh kenderaan pelbagai jenis yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan barangan tersebut.

"Suspek dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut," jelas Dr. Che Ghazali dalam kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 91(1)(3), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Dr. Che Ghazali turut memaklumkan, setakat semalam, PGA Sarawak telah mencatatkan 66 kes rampasan membabitkan nilai keseluruhan mencecah RM161 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE