KUALA LUMPUR, 8 Mac- Polis berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan dan penjualan mercun, bunga api tanpa permit serta rokok tidak berkastam menerusi dua serbuan berasingan di Selangor, membabitkan rampasan berjumlah lebih RM45 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, memaklumkan serbuan pertama menerusi Op Taring Charlie di Kapar, Klang, Rabu lalu menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit bernilai lebih RM32,000.
"Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun, dipercayai bertanggungjawab ke atas premis tersebut, telah ditahan.
"Antara barangan yang dirampas adalah 25,480 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis, sebuah kontena bersaiz 40 kaki serta sebuah lori tiga tan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Serbuan kedua menerusi Op Taring Alpha di Bukit Sentosa, Rawang, hari ini pula menyaksikan rampasan rokok tidak berkastam bernilai lebih RM12 juta, selain penahanan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis dan penghantar barangan.
Jelas Datuk Seri Azmi lagi, serbuan itu turut merampas 27,100 karton rokok putih dan 4,560 karton rokok kretek pelbagai jenama serta sebuah van, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau menambah, pihak KDNKA menerusi Biro Jenayah Hidupan Liar dan Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) telah melaksanakan 69 serbuan di seluruh negara sejak awal tahun ini, membawa kepada penahanan 107 individu atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.
"Nilai keseluruhan rampasan setakat ini dianggarkan mencecah RM370 juta," tambahnya.