TUMPAT, 20 Jun - Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan selepas disyaki menjual rokok elektronik (vape) tanpa lesen dalam serbuan Op Taring Wawasan Kelantan di sebuah premis di Kampung Geting di sini, Selasa lalu.
Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata, sebanyak 198 kotak cecair vape, tiga paket cecair dan 59 unit peranti vape dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM23,000.
Operasi pada pukul 3 petang bersama pegawai Majlis Daerah Tumpat (MDT) itu mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa sebarang lesen sah berkaitan penjualan rokok elektronik.
“Penjaga kedai itu gagal mengemukakan sebarang dokumen dan lesen yang sah dari MDT berkaitan perniagaan rokok elektronik ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Daerah Tumpat 2019.
"Semua barangan rampasan telah diserahkan kepada MDT untuk tindakan lanjut," katanya