fb fb fb fb fb

Polis rampas 70 pil yaba, lima individu dicekup di Tanah Merah

Gambar hiasan

TANAH MERAH, 20 Jun – Polis menahan lima individu termasuk seorang yang cuba melarikan diri dalam serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar daerah ini yang dikenal pasti sebagai kawasan pengedaran dan penagihan dadah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata, serbuan itu membawa kepada rampasan kira-kira 70 biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis yaba.

“Pemeriksaan awal mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua suspek telah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

GRACE AISYAH KEDAYAN