SEPANG, 19 Jun – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah sebanyak hampir 30.15 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM2.65 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah JKDM KLIA, Zulkifli Muhammad memaklumkan pihaknya menahan seorang lelaki tempatan pada 17 April lalu kerana cuba menyeludup keluar sebanyak 14.65 kilogram bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM1.44 juta melalui bagasi daftar masuk untuk penerbangan ke sebuah negara di Eropah.
“Orang Yang Disyaki (OYDS) mempunyai rekod senarai hitam dan dikesan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). Semasa proses imbasan bagasi, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas anggota JKDM yang bertugas,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Dadah berkenaan dipercayai disorokkan dalam plastik kedap udara bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan dan tidak dijatuhkan hukuman mati.
Dalam operasi berasingan, JKDM turut menggagalkan cubaan menyeludup masuk cecair rokok elektronik bernikotin, rokok putih, dan tembakau, dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM1.96 juta.
Zulkifli berkata rampasan melibatkan 62,000 liter cecair rokok elektronik mengandungi nikotin (dianggarkan bernilai RM334,000, duti dan cukai RM60,630), 1,878,800 batang rokok putih, serta 377 kilogram tembakau.
“Penahanan dibuat ke atas satu dagangan di salah satu pengendali terminal kargo udara zon perdagangan bebas KLIA, yang disyaki tidak memiliki lesen import sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.