fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan samun kedai emas guna serbuk cili

Foto Facebook orang awam

LANGKAWI, 19 Jun - Seorang lelaki bertindak nekad merompak sebuah kedai emas di Jalan Pandak Mayah, Kuah, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap oleh orang awam dan polis yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashaari, dalam satu kenyataan berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.48 minit pagi itu, menyebabkan kedai emas terbabit hampir kerugian RM50,000.

"Suspek yang berumur 45 tahun itu bertindak mencampak serbuk cili ke arah pekerja kedai sebelum memecahkan cermin pameran emas di kedai berkenaan menggunakan sebilah parang dan melarikan beberapa utas barangan emas.

"Suspek kemudian dikejar pemilik kedai serta orang awam sebelum berjaya ditangkap oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan," jelasnya. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan. 

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI