KUALA LUMPUR, 19 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas sisa elektronik (e-waste) dianggarkan bernilai lebih RM500 juta dalam operasi khas Op Hazard 2.0 melibatkan serbuan di 57 premis haram di seluruh negara bermula 16 sehingga 19 Jun.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi itu turut melibatkan 12 agensi lain, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurutnya, LHDN turut mengesan anggaran RM500 juta cukai yang tidak diisytiharkan daripada kegiatan tersebut.
"Kami telah merampas barangan bernilai RM504 juta yang terdiri daripada sisa elektronik (e-waste), komponennya, barangan lusuh dan lain-lain, dengan anggaran rampasan lain berjumlah sekitar RM32 juta.
Nilai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa kerana masih perlu disemak sama ada barangan tersebut merupakan bahan mentah, bahan separa proses atau telah diproses sepenuhnya.
Nilai barangan yang telah diproses biasanya lebih tinggi berbanding bahan mentah," katanya pada sidang media Op Hazard 2.0 di ibu negara.
Sebanyak 57 premis haram diserbu dalam operasi, melibatkan lokasi di beberapa negeri termasuk Kedah (6), Pulau Pinang (4), Perak (5), Selangor (16), Kelantan (2), Johor (5), Terengganu (1), Sarawak (6) dan Sabah (12).
Seramai 453 individu ditahan terdiri daripada 382 lelaki, 70 wanita dan seorang kanak-kanak membabitkan 392 pendatang asing, 41 warganegara serta 20 warga asing bagi lain- lain kesalahan," tambahnya.
Sejak Januari hingga kini, seramai 1,061 individu ditahan di 167 lokasi serbuan dengan nilai lebih RM5 bilion sisa elektronik dirampas.