KOTA BHARU, 15 Mac - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM1.4 juta dalam serbuan di Kampung Bunohan, Tumpat, dalam Op Taring Charlie pada petang semalam.
Komandernya Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan sekitar pukul 6.45 petang itu, pihak berkuasa memeriksa sebuah premis yang disyaki menjadi tempat penyimpanan mercun dan bunga api menjelang sambutan Aidilfitri.
"Pemeriksaan awal tidak menemukan barang terlarang di dalam premis atau pada tubuh badan pemiliknya, namun semakan terhadap sebuah lori yang diparkir di hadapan bangunan membawa kepada penemuan puluhan kotak dipercayai mengandungi bahan letupan tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut beliau, pemilik premis mengemukakan dokumen yang meragukan, menyebabkan kesemua barang rampasan termasuk lori terbabit disita untuk siasatan lanjut.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, telah ditahan," katanya.
Semua barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bagi tindakan selanjutnya.