PADANG BESAR, 21 September - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lori kontena dan merampas 55.75 tan tepung bernilai RM1.4 juta disyaki tidak mematuhi peraturan pelabelan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 24, Chuping.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim menerusi kenyataan berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Kompeni C, Batalion 1 dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan kira-kira pukul 7.00 malam Jumaat lalu, polis menemui 1,042 guni putih jumbo serta beg kertas berwarna coklat dan biru berisi tepung seberat 55.75 tan.
"Kesemua bungkusan itu disyaki tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana tiada kenyataan bukan untuk jualan serta pelabelan tidak lengkap tanpa alamat pengimport.
"Dua lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan bersama lori jenis Dong Feng, manakala barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Padang Besar untuk siasatan lanjut", katanya.
Kedua-dua pemandu terbabit dipercayai cuba menyeludup masuk barangan tersebut masuk ke negara ini tanpa pemeriksaan KKM untuk dipasarkan sekitar Alor Setar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.