KOTA BHARU, 21 September - Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini melepas dan membebaskan seorang lelaki atas dua pertuduhan memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen sah.
Keputusan itu dibuat Hakim Zulkifli Abllah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Haziman Hikamarhakimi, 38 tahun.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Haziman didakwa memiliki dua senjata api iaitu pistol Beretta Patented Gardone V.T buatan Itali dan revolver 357 Magnum Cartridge Colt’s PT FA MFG CO Hartford Conn USA bernombor siri V16140 di sebuah rumah di Lot 365, Jalan Long Yunus, Kampung Tanjung Chat, Kota Bharu pada kira-kira pukul 11.00 malam pada12 Mac 2024.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37].
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memiliki pelbagai jenis peluru tanpa lesen sah di lokasi dan waktu sama, termasuk 24 butir amunisi 9MM Luger A USA, 9 butir 9MM Luger NRC, 5 butir 9MM Thai Arms, 18 butir 357 Mag Ap, 1 butir 357 Mag A USA dan 1 butir 9MM Luger PMC, mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Zulkifli dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan.
Beliau merumuskan dalam kes tersebut, pengetahuan tidak dapat dibuktikan dengan baik dan pertuduhan terhadap pistol dan peluru-peluru tersebut serta berpendapat pendakwa raya tidak dapat membawa bukti-bukti kukuh terhadap Orang Kena Tuduh (OKT).
Selain itu, Mahkamah turut mendapati terdapat percanggahan antara keterangan saksi pegawai penyiasat dan pegawai tangkapan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala peguam Datuk Geethan Ram Vincent.