YAN, 21 September - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran bersama 48 unit bubu naga di perairan Kuala Sungai Dedap, Yan, Kedah, semalam.
Bot tersebut dikesan pada pukul 11.30 pagi ketika rondaan rutin operasi bersepadu Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Patkor Optima Malindo Siri 32/2025 dijalankan.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, kru bot terbabit bertindak melarikan diri ke arah daratan sebelum berjaya dipintas.
"Pemeriksaan mendapati bot beroperasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perikanan 1985.
"Turut ditemui, 48 unit bubu naga yang diharamkan penggunaannya kerana berpotensi merosakkan ekosistem marin serta mengancam populasi hidupan laut.
"Seorang kru tempatan berusia 39 tahun ditahan, manakala bot bersama peralatan yang dianggarkan bernilai RM112,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut," kata Noor Azreyanti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan bot tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.
Maritim Malaysia memaklumkan, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi mengaut keuntungan hingga menjejaskan kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.
Maritim pintas bot fiber, 48 bubu naga dirampas di perairan Kedah

powered by social2s