fb fb fb fb fb

Pegawai kebajikan mengaku salah terima suapan RM2,100

Tertuduh, Muhammad Maududi Abd Rashid hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM2,100 daripada seorang pengarah syarikat, dua tahun lalu

KUALA TERENGGANU, 21 September - Seorang Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM2,100 daripada seorang pengarah syarikat, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Maududi Abd Rashid, 36 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM700 daripada Timbalan Pengerusi Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia merangkap Pengarah Syarikat H&F Management Sdn Bhd melalui transaksi ke akaun bank miliknya pada 5 Julai 2023.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang dengan jumlah yang sama pada 7 Ogos dan 5 September tahun sama melalui transaksi daripada akaun syarikat berkenaan ke akaunnya.

Kesalahan itu didakwa mempunyai kaitan dengan urusan rasmi pendaftaran sebuah pusat jagaan di daerah berkenaan.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan 30 September ini sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Norlee dan Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE