TUMPAT, 2 November - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9.56 juta bagi tempoh Januari sehingga Oktober lepas.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, jumlah rampasan berkenaan membabitkan 246 kes.
Dalam tempoh berkenaan, pihaknya turut merampas 42 kenderaan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan RM 979 ribu.
"Jadi saya tegaskan di sini bahawa hasil yang kita catatkan ini menandakan bahawa semua pegawai dan anggota di kawasan Op Taring Wawasan Kelantan ini begitu dedikasi menjalankan tugas mereka siang dan malam, tidak kira panas ataupun hujan." katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Taktikal Op Taring Wawasan, di Tumpat, hari ini.
Sementara itu, Asisten Komisioner Ijid Landu memaklumkan, 203 pendatang asing tanpa izin (PATI), terdiri daripada 156 lelaki dan 47 wanita ditahan sejak Januari hingga bulan lalu.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 26(j) Akta Atipsom 2007 dengan kebanyakkan PATI yang ditahan adalah warga Myanmar.
Selain itu, 33 tekong lelaki turut ditangkap termasuk penduduk tempatan dan warga asing.