KUALA TERENGGANU, 2 November - Seorang pegawai polis dipenjara sebulan dan didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menerima suapan berjumlah RM23,000 pada 2021.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap, Khairul Faiz Mohamad Zaini, 37 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh menerima wang berjumlah RM23,000 daripada Mohamad Adam A. Rahman melalui pindahan ke akaun pihak ketiga sebelum dimasukkan ke akaun bank milik isterinya, Nurul Syafiqah Zainal Abidin, sebagai balasan melepaskan tiga individu yang ditahan serta membuang bahan bukti dadah daripada laporan tangkapan polis.
Perbuatan dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, pada pukul 2 pagi, 26 Februari 2021.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan dan menetapkan tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee.
Manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.