IPOH, 2 November - Seorang individu tempatan berusia lingkungan 20-an, ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis.
Kejadian di hadapan sebuah restoran, di Taman Ipoh Timur Baru, Bercham, semalam tular di media sosial selepas rakaman menunjukkan suspek berpakaian anggota polis trafik menahan seorang penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan, siasatan mendapati suspek telah menahan dan mendakwa mangsa melakukan kesalahan ubah suai motosikal.
"Suspek telah meminta wang tunai RM300 sebagai sogokan bagi mengelak saman.
Mangsa yang curiga telah menghubungi rakannya, sebelum pihak polis dimaklumkan dan suspek berjaya ditahan bersama beberapa barangan penyamaran," katanya menerusi kenyataan.
Antara barang kes yang dirampas termasuk sehelai vest pantul cahaya, topi dan kasut logo PDRM, beberapa pelekat logo rasmi polis serta dua buah motosikal.
Suspek, kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.