fb fb fb fb fb

Pesara wanita rugi lebih RM2.2 juta terperdaya ‘phone scam’

FOTO HIASAN

MIRI, 1 Oktober - Seorang pesara swasta berusia 66 tahun kerugian lebih RM2.24 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil Touch ‘n Go sebelum panggilan itu disambungkan kepada pihak kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

“Mangsa diarahkan mengeluarkan semua simpanan termasuk wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menyerahkannya melalui pindahan bank, transaksi dalam talian serta serahan tunai kepada individu tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan melebihi RM2.24 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

ACP Mohd Farhan turut menasihatkan orang ramai agar tidak panik jika menerima panggilan mencurigakan serta tidak mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon.

Orang ramai yang menjadi mangsa atau menerima panggilan meragukan boleh menghubungi National Scam Response Center di talian 997 atau membuat semakan nombor telefon dan akaun bank melalui portal Semak Mule di semakmule.rmp.gov.my.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE