fb fb fb fb fb

Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah minta suapan RM5 juta

P. Kuhan Arunasalam didakwa meminta suapan RM5 juta daripada seorang individu sebagai dorongan agar Suruhanjaya Sekuriti tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah syarikat amanah dan pengurusan harta, Julai lalu/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada seorang individu bagi mengelak tindakan undang-undang Suruhanjaya Sekuriti terhadap sebuah syarikat amanah dan pengurusan harta.

Tertuduh, P. Kuhan Arunasalam, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Jalan Bangkung, Bangsar pada 2 Julai 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa Selvam T. Armugom menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan termasuk pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam bela, Wan Shahrizan Wan Ladin, tidak membantah jumlah jaminan dan memaklumkan anak guamnya bersedia mematuhi syarat tambahan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, bersama syarat tambahan yang dimohon pendakwaan, dan menetapkan 6 November ini untuk sebutan semula kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE