HULU SELANGOR, 1 Oktober – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik seorang penceramah motivasi popular, disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selepas dikesan menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada bahagian hadapan dan belakang.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata semakan pangkalan data turut mendedahkan terdapat 42 saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dikaitkan dengan nombor terbabit.
Semua saman tersebut akan dipindahkan kepada pemilik sebenar kenderaan itu.
"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan mempamerkan nombor pendaftaran PRF di bahagian hadapan, manakala bahagian belakang menggunakan nombor pendaftaran RF.
"Siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF adalah sah dan dimiliki individu lain," katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ Kalumpang, di sini, hari ini.
Susulan kesalahan tersebut, JPJ telah mengambil tindakan terhadap pemilik sebenar bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu, manakala kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.