KUALA KANGSAR, 1 Oktober - Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut selepas trak dinaiki bersama enam yang lain terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 257 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora di sini, hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.59 petang.
Lima mangsa yang berjaya dikeluarkan lebih awal oleh orang awam, manakala dua lagi mangsa tersepit di bahagian belakang trak.
Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 5.54 petang namun disahkan meninggal dunia.
Sementara mangsa kedua pula diselamatkan pada pukul 6.14 petang.
Kesemua Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat melibatkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar serta dua jentera.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.