BUTTERWORTH, 15 Oktober - Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth pagi tadi atas 12 pertuduhan menyalahgunakan wang milik sebuah syarikat pemaju.
Tertuduh, Mohd Noor Yacub, 67 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM405,121 milik Amar Iman Development Sdn. Bhd. melalui beberapa cek yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank Islamic miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Plaza MWE, Lebuh Farquhar, George Town, antara 19 Januari hingga 21 Oktober 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Amirrul Adli.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi semua pertuduhan, dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 November depan.