fb fb fb fb fb

Pesara rugi RM500,000 akibat pelaburan tidak wujud

Jangan mudah terpedaya dengan iklan pelaburan yang ditawarkan di laman sosial.

MIRI, 9 Julai - Seorang pesara syarikat swasta kerugian hampir RM500,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, lelaki berusia lingkungan 60-an itu dilaporkan mula berurusan dengan suspek yang menyamar sebagai penyelia kumpulan pelaburan melalui iklan di laman Facebook pada pertengahan Mei lepas.

“Tertarik dengan tawaran pelaburan yang dijanjikan, mangsa menekan pautan iklan dan kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp,” katanya.

Mangsa yang terpedaya telah membuat beberapa transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek, melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM500,000.

“Lelaki itu mula menyedari ditipu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan pelaburan. Sehingga laporan dibuat mangsa hanya menerima pulangan kira-kira RM65,000 sahaja,” katanya.

Pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan yang ditawarkan di laman sosial tanpa membuat semakan terlebih dahulu. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN